|
Simptom
lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi,
kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.
|
Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?
*Jo, Kuala Lumpur
Saudara Jo,
Pertama,
saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya
tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza
dengan wanita.
Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan
reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka
berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi
apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.
Simptom
seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh
timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.
Bagi
lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara
perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke
akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.
Penurunan
hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke
paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan,
sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada
tahap kesihatan seseorang lelaki itu.
Contohnya,
jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis
dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah
manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat,
maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan
kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.
Simptom
yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus
dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan,
kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta
banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.
Doktor
perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan
pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan
seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan
yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan
seseorang lelaki dan pasangan mereka.
Jika
saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat
lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif
dalam kehidupan seharian.
--- UTUSAN MALAYSIA