Jika pembaca masih ingat, genap sebulan lalu, ruangan Kesihatan
telah menyiarkan artikel mengenai penyakit sistemik lupus eritematosus
(SLE) serta rawatannya.
Berdasarkan maklum balas yang kami terima, kita sekali lagi akan
membincangkan mengenai penyakit itu, tetapi dari perspektif yang berbeza
- wanita dan kehamilan.
Kesihatan berbesar hati kerana pakar perubatan yang sama sudi
berkongsi kepakarannya untuk menghasilkan artikel mengenai penyakit yang
mendapat jolokan `seratus wajah' ini.
Semoga, dengan tersiarnya bahan ini akan memberikan lebih kefahaman
kepada orang ramai khususnya pesakit SLE yang lebih banyak dideritai
oleh wanita ketika peringkat subur.
Sama-sama kita ikuti. - Pengarang
Oleh DR. MOHD. SHAHRIR MOHAMED SAID
Pensyarah dan Pakar Perubatan
Unit Reumatologi Fakulti Perubatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
PROSES mengandung adalah suatu aspek fisiologi yang penting bagi
manusia. Ia juga merupakan antara peristiwa yang dinanti-nantikan oleh
setiap wanita.
SLE biasanya dihidapi oleh wanita-wanita di dalam usia 20 hingga 40 tahun. Oleh itu, ia boleh berlaku bersama proses kehamilan.
Prognosis ibu dan anak adalah baik jika aktiviti penyakit tersebut
terkawal selama enam bulan hingga 18 bulan, bergantung kepada
organ-organ yang terlibat oleh SLE serta tahap keseriusannya. Lebih lama
penyakit SLE terkawal, lebih cerah prognosisnya. Oleh itu, kontrasepsi
dan perancangan keluarga penting.
Isu-isu yang akan disentuh ialah keaktifan semula SLE, Pre Eklampsia (PE), kehilangan janin, lupus neonatal dan penyusuan bayi.
Keaktifan semula SLE
Keaktifan semula SLE boleh berlaku di dalam 30 hingga 50 peratus
pesakit SLE semasa mengandung. Kebarangkalian keaktifan semula SLE
adalah sama di dalam ketiga-tiga trimester tempoh mengandung.
Akan tetapi, kebarangkalian tersebut menjadi rendah jika pesakit tersebut mempunyai aktiviti SLE yang terkawal.
Jika pesakit tersebut mempunyai penyakit yang terkawal selama lebih 6
bulan, kebarangkalian tersebut adalah 10 hingga 30 peratus.
Sementara itu, sekiranya pesakit tersebut menghidapi penyakit yang
tidak terkawal, maka kebarangkalian meningkat kepada 60 hingga 70
peratus.
Bagi pesakit SLE yang menjangkiti buah pinggang (lupus nefritis), proses mengandung boleh memburukkan status organ berkenaan.
Ini ditambah jika terdapat masalah darah tinggi dan fungsi buah
pinggang di mana peratus kehilangan janin adalah lebih kurang 75
peratus.
Di samping itu, kebanyakan ubat-ubatan SLE tidak boleh diambil semasa
mengandung kerana dikhuatiri mendatangkan kecacatan kepada bayi.
Oleh itu, seseorang pesakit SLE boleh terdedah kepada pengaktifan semula penyakit semasa mengandung.
Namun demikian, pesakit-pesakit SLE mesti berunding dan mendapatkan
nasihat doktor mereka bagi merancangkan kehamilan agar kesan buruk tidak
berlaku.
PE
Merupakan suatu masalah yang berkaitan dengan proses mengandung di
mana pesakit tersebut mempunyai air kencing berprotein, darah tinggi dan
bengkak bahagian kaki dan badan.
Ia boleh berlaku di dalam 13 peratus pesakit SLE yang mengandung. PE
boleh menyebabkan sawan yang susah terkawal iaitu eklamsia yang boleh
menyebabkan perdarahan di dalam otak ataupun strok.
Apabila tekanan darah menjadi tinggi disebabkan oleh PE, buah
pinggang yang mungkin telah mengalami kerosakan oleh lupus nefritis akan
bertambah rosak. Kadangkala pesakit ini memerlukan dialisis.
Kehilangan janin
Kira-kira 20 hingga 30 peratus pesakit SLE mungkin mengalami
keguguran. Kehilangan janin boleh berlaku di dalam 30 hingga 50 peratus
pesakit SLE.
Risiko akan bertambah di dalam pesakit-pesakit yang mempunyai darah tinggi, lupus nefritis dan penyakit SLE yang tidak terkawal.
Suatu keadaan yang diberi nama Sindrom Antifosfolipid Antibodi juga
berkaitan dengan penyakit SLE. Sindrom ini boleh menyebabkan saluran
darah vena dan arteri tersumbat disebabkan oleh darah beku.
Keguguran boleh berlaku selepas 10 minggu hamil.
Lupus neonatal
Lupus neonatal adalah suatu keadaan di mana anak yang lahir daripada ibu yang mempunyai antibodi anti-Ro dan anti-La.
Kehadiran antibodi ini berkaitan dengan penyakit SLE.
Komplikasi serius adalah pada anak yang bakal dilahirkan iaitu
komplikasi sekatan jantung sepenuhnya, menyebabkan denyutan nadi bayi
berkurangan sehingga jantung menjadi lemah.
Namun komplikasi ini hanya berlaku di dalam dua peratus kes-kes tersebut.
Penyusuan bayi
Penyusuan bayi dibolehkan bagi pesakit SLE. Akan tetapi, sebahagian rawatan SLE boleh larut di dalam susu ibu.
Ubat-ubat tersebut termasuk ubat mycophenolate mofetil (Cell-cept),
azathioprine (Imuran), methotrexate dan sebahagian ubat penahan sakit.
Ubat-ubat seperti antimalaria (hydroxychloroquine), prednisolone,
warfarin (tidak selamat pada awal kehamilan) dan suntikan heparin adalah
selamat.
Rawatan pesakit SLE yang mengandung
Ia seharusnya melibatkan pakar-pakar perubatan yang tertentu
terutamanya dalam bidang reumatologi dan nefrologi serta pakar sakit
puan dan perbidanan.
Rawatan pesakit-pesakit tersebut sebenarnya bermula sebelum hamil.
Perbincangan yang terperinci bersama keluarga pesakit, pakar perubatan
dan pakar perbidanan perlu dilakukan jika pesakit ingin hamil.
Segala komplikasi yang mungkin dihadapi mesti diterangkan kepada pesakit.
Ubat-ubatan juga akan diubahsuai untuk memastikan proses mengandung selamat.
Jangka masa pemeriksaan pesakit-pesakit
Bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.
Pemeriksaan pertama melibatkan pemeriksaan fizikal yang lengkap,
pengambilan darah bagi fungsi buah pinggang, fungsi darah, paras asid
urik, analisis air kencing, ujian darah aktiviti SLE dan paras
komplemen.
Lain-lain termasuk lupus antikoagulan, anticardiolipin antibodi,
anti-Ro dan anti-La, analisis lengkap air kencing, urin FEME untuk
protein, sel darah merah serta urine protein creatinine index.
Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan bagi pemeriksaan fizikal janin.
Biasanya, aspirin dimulakan pada peringkat ini dalam usaha mengelakkan
PE berlaku.
Pemeriksaan seterusnya dilakukan sebulan kemudian kecuali jika
pesakit mempunyai sejarah keguguran ataupun sejarah sindrom
antifosfolipid antibodi.
Jika keadaan ini berlaku, pesakit tersebut perlu diperiksa dengan
lebih kerap dan suntikan heparin dimulakan bersama aspirin, agar
kebekuan darah tidak berlaku terutamanya dalam saluran darah plasenta.
Setiap pemeriksaan mesti melibatkan tekanan darah dan fizikal yang lengkap, ujian air kencing, darah dan ultrasound.
Bagi trimester terakhir, pemeriksaan yang melibatkan ibu dan janin perlu dilakukan pada setiap minggu.
Setelah selamat bersalin, ibu tersebut akan menjalani ujian seperti
pemeriksaan pertama kerana kebarangkalian keaktifan semula adalah tinggi
dalam tempoh tiga bulan pertama selepas melahirkan.
Sebarang ketidaknormalan pada pemeriksaan fizikal mahupun darah atau air kencing perlu dilihat dari aspek keseluruhan pesakit.
Aspek menamatkan sesuatu kehamilan itu adalah sesuatu yang sensitif dan kontroversi.
Ia banyak bergantung kepada keaktifan SLE pesakit, keaktifan semula
SLE, fungsi buah pinggang, PE, eklampsia dan komplikasi PE/eklampsia.
Komplikasi-komplikasi tersebut boleh mendatangkan maut. Oleh itu, aspek kesihatan ibu lebih diutamakan.
Keputusan di atas, perlu dibincangkan bersama suami pesakit, pakar perbidanan dan pakar perubatan reumatologi nefrologi.
Bagaimanapun, kata putus masih terletak di tangan pesakit dan
suaminya. Apa yang telah diterangkan tadi bukan bermakna seseorang
wanita SLE itu tidak boleh mengandung. Yang penting adalah masa di mana
mereka hamil.
Buat masa ini, SLE adalah suatu penyakit yang aktif dikaji di serata
dunia. Mungkin suatu masa kelak, rawatan SLE yang baru akan ditemui dan
proses mengandung bagi wanita yang menghidap SLE boleh berlaku dengan
lebih selamat.